Unsur-unsur mitos Huangdi Maharaja_Kuning

Sebuah batu bersurat bertapak kura-kura di Shou Qiu yang dipercayai sebagai tempat kelahiran Maharaja Kuning.

Kehidupan awal

Menurut Huangfu Mi (215–282), Maharaja Kuning lahir di Shou Qiu ("Bukit Panjang Umur"),[20] yang kini terletak di pinggir bandar Qufu di Wilayah Shandong. Mula-mula, baginda tinggal bersama puaknya di rantau barat laut dekat Sungai Ji (yang dipercayai merupakan Sungai Fen di Shanxi[21]). Kemudian, baginda berhijrah ke Zhuolu yang kini dalam Wilayah Hebei,[22] di mana baginda menjadi seorang petani dan menjinakkan enam jenis binatang yang istimewa, iaitu beruang (), beruang perang (), pí () dan xiū () yang kemudiannya bergabung menjadi satu makhluk Pixiu, chū (), dan harimau ().[22] Oleh itu, Ye Shuxian mengaitkan Maharaja Kuning dengan legenda-legenda beruang yang diperdengarkan di kalangan kaum-kaum Asia timur laut dan juga legenda Dangun.[23]

Maharaja Kuning dan Maharaja Yan merupakan ketua-ketua bagi sebuah puak[22] ataupun segabungan dua puak[21] dekat Sungai Kuning, pada satu zaman yang disebut oleh buku sejarah China moden sebagai "masyarakat primitif."[22] Maharaja Yan berasal dari sebuah kawasan yang berlainan dekat Sungai Jiang (yang disangka sebagai Sungai Wei pada zaman sekarang).[21] Kedua-dua maharaja ini hidup pada zaman yang penuh dengan peperangan.[24] Setelah Maharaja Yan terbukti tidak dapat menenteramkan keadaan dalam wilayahnya, Maharaja Kuning berusaha mengukuhkan penguasaannya ke atas berbilang paksi yang saling berperang itu.[24]

Pencapaian

Gambaran Maharaja Kuning pada makam dari pertengahan abad ke-2 M. Kata prasasti: "Maharaja Kuning mewujudkan dan mengubah pelbagai perkara; baginda mencipta senjata dan sistem sawah; baginda mencipta baju dan seluar, serta menubuhkan istana dan rumah."[25]

Menurut kisah Cina tradisional, Maharaja Kuning dikenang kerana meningkatkan mata pencarian para pemburu yang berpindah-randah dalam puaknya. Baginda mengajar mereka membina tempat berteduh, menjinakkan haiwan liar, dan bercucuk tanam.[26] Di samping itu, baginda juga dikatakan mencipta pedati, perahu dan pakaian.[26]


Antara ciptaan lain yang dipercayai daripada maharaja ini ialah mahkota (冠冕), balairung seri (宮室), galas busur, astronomi Cina, takwim Cina, ilmu hisab, peraturan muzik (音律),[27] dan cuju, iaitu suatu bentuk bola sepak yang purba.[28] Baginda juga dipercayai terlibat dalam penciptaan cetra guqin,[29] tetapi ada pihak lain yang menyebut Maharaja Yan sebagai pencipta bunyi-bunyian untuk lagu-lagu gubahan Ling Lun.[30]

Menurut catatan tradisional, Maharaja Kuning juga merangsang ahli sejarah Cangjie untuk mencipta sistem tulisan Cina yang pertama, iaitu tulisan tulang nujum,[26] sementara isteri utamanya Leizu mencipta penternakan ulat sutera dan mendidik rakyat jelata untuk menenun kain sutera dan mencelup warna pakaian.[26]

Di satu ketika dalam pemerintahan baginda, Maharaja Kuning dikatakan pernah berangkat ke Laut Timur dan bersemuka dengan makhluk yang boleh bertutur iaitu Bai Ze yang mengajar beliau pengetahuan tentang segala makhluk ghaib.[31][32] Makhluk ini menjelaskan kepada baginda bahawa terdapat 11,522 (atau 1,522) jenis makhluk ghaib.[31][32]

Ukiran Chi You, musuh ketat Maharaja Kuning di Pertempuran Zhuolu, pada makam dinasti Han.

Peperangan

Menurut kisah turun-temurun, Maharaja Yan berdepan dengan ancaman "Sembilan Li" (九黎) yang diketuai oleh Chi You yang berkepala gangsa[22] dan saudara-saudaranya yang bertanduk 81 dan bermata empat[8] lalu ditewaskan. Yan berlari ke Zhuolu untuk memohon Maharaja Kuning. Ini disusuli oleh Pertempuran Zhuolu, apabila Maharaja Kuning menggunakan mergastua jinaknya sementara Chi You menggelapkan langit dengan menghembuskan kabus yang sungguh tebal.[33] Oleh itu, baginda membangunkan Rata Tunjuk Selatan yang dipandunya untuk memimpin bala tenteranya keluar daripada kabus itu.[8][33] Kemudian, baginda menyeru puaka kemarau Nuba untuk memadamkan ribut yang dihasilkan oleh Chi You.[8][33] Kemudian, baginda menghapuskan puak Sembilan Li sebelum bermusuhan pula dengan Maharaja Yan lalu menewaskannya di kota Banquan[22] dan mengambil tempatnya sebagai pemerintah utama.[24]

Kemangkatan

Maharaja Kuning dipercayai telah hidup selama lebih seratus tahu sebelum bertemu dengan seekor burung cenderawasih dan seekor makhluk qilin dan akhirnya mangkat.[2] Dua buah makam dibina di Shaanxi di dalam perkarangan Makam Maharaja Kuning, di samping yang lain-lain di wilayah Henan, Hebei dan Gansu.[34]

Sesetengah Orang Cina zaman sekarang mengganggap diri mereka sebagai "Keturunan Yan dan Huang",[26] sementara kelompok minoriti bukan Han di China mungkin memiliki mitos tersendiri ataupun tidak dikira sebagai keturunan maharaja ini.[35]

Rujukan

WikiPedia: Maharaja_Kuning http://big5.china.com.cn/aboutchina/zhuanti/lddw/2... http://china.org.cn/english/features/atam/115072.h... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/274374/H... http://www.encyclopedia.com/topic/Yellow_Emperor.a... http://books.google.com/books?id=T7AL_qGOBsYC&lpg=... http://books.google.com/books?id=T7AL_qGOBsYC&lpg=... http://big5.ifeng.com/gate/big5/book.ifeng.com/lia... http://big5.ifeng.com/gate/big5/phtv.ifeng.com/pro... http://www.lunw.com/thesis/123/16568_1.html http://lucian.uchicago.edu/blogs/earlychina/files/...